Sunday 6 October 2019

Tidak! Itu bukan puaka Salbiah...


Gambar sekadar hiasan

Pada waktu siang, laluan di Jalan Lembah Permai dan sekitarnya kelihatan sibuk seperti jalan-jalan lain. Malah kawasan berbukit yang terletak di Pulau Pinang ini sering juga menyaksikan kejadian tanah runtuh akibat daripada pembangunan tidak terkawal di pulau mutiara itu.

Namun, pada waktu malam, lain pula ceritanya. Laluan tersebut menjadi sebutan hangat penduduk tempatan akibat daripada kekerapan kejadian mistik. Jalan itu akhirnya digelar Jalan Bukit Salbiah, sempena nama mayat seorang wanita yang ditemui di lurah bukit pada 15 November 1980. Wanita yang malang itu berumur 27 tahun, seorang pekerja kilang AMD di Pulau Pinang.

Salbiah menjadi mangsa pembunuhan kejam seorang inspektor kasanova, Saderi Abdul Samat. Lima bulan sebelum kejadian, Saderi telah mengajak Salbiah tinggal bersamanya di kuarters polis Jalan Scottland. Terpedaya, Salbiah menerima tanpa mengetahui Saderi sebenarnya telah pun bertunang dan hanya menganggapnya sebagai tempat pelampias nafsu semata-mata.

Pergaduhan tercetus pada suatu malam apabila Salbiah meminta Saderi bertanggungjawab ke atas hubungan mereka. Saderi pula pada masa yang sama meminta Salbiah keluar daripada kuarters tersebut kerana tunangnya, Rubiah akan datang melawat dari Melaka. Konflik akhirnya membawa kepada pergelutan, menyebabkan Salbiah dijerut tanpa belas kasihan oleh lelaki yang mengaku mencintai dirinya. Malah, sekujur tubuhnya yang genit dicampak tanpa simpati di satu lokasi. Itulah tempat persemadian sementara jasadnya sebelum dijumpai oleh orang awam dan pasukan polis. Akhirnya tempat itu diberi nama jolokan Bukit Salbiah.

Beberapa penduduk tempatan mengakui laluan itu agak “keras” selepas insiden tersebut. Penampakan sosok wanita, hilaian misteri dari atas pokok, dan kewujudan bau harum bunga melur yang paling galak pada waktu malam menjadikan banyak cerita tersebar mengenai “jalan puaka itu”. Menurut penduduk tempatan, mereka akan cuba mengelak daripada melalui jalan itu selepas jam 9 malam agar tidak diganggu dengan kejadian-kejadian aneh dan menakutkan.

Namun, benarkah, roh orang mati dibunuh boleh bangkit semula menjadi penunggu dan menghantui sesebuah kawasan?

Menurut laman web al-ahkam.net;

“Roh-roh orang yang telah mati sekali-kali TIDAK BOLEH MENJADI HANTU ATAUPUN SEGALA JENIS MAKHLUK YANG SEERTI DENGANNYA. Hantu itu tak lain dan tak bukan hanyalah satu gelaran kepada syaitan yang terdiri daripada kalangan jin-jin yang jahat , manusia-manusia yang menyembah Iblis dan kadang-kadang perkataan hantu itu juga digunakan untuk Iblis (Laknatullahi‘alaih).”

“Bangunnya seseorang daripada Alam Barzakh itu dinamakan sebagai QIYAMAH , dan perkataan Qiyamah itu sendiri bermakna bangun, maka kalau betullah roh-roh itu bangun kembali, maka sudah tentu ini bermakna telah berlakunya qiyamah (Hari Kiamat – menurut sebutan orang-orang Melayu). Maka yang jelasnya , seseorang yang telah mati (betul-betul mati) TIDAK BOLEH SAMA SEKALI bangkit daripada kuburnya sebagai hantu ataupun seumpamanya!”



Menurut Multiracial Reverted Muslim (MRM) di bawah kelolaan saudara Firdaus Wong yang gigih dengan usaha menyebarkan dakwah Islamiah di Malaysia;

“Terdapat dua agama yang sinonim dengan perkara-perkara mistik dan cerita-ceria hantu. Malah ia terakam di dalam kitab suci mereka dan memiliki pengkelasan yang tersendiri mengenai hantu-hantu iaitu agama Hindu dan agama Buddha. Dalam agama Hindu, maklumat terperinci mengenai hantu terdapat dalam kitab suci mereka iaitu Garuda Purana. Manakala di dalam agama Buddha pula terdapat suatu kepercayaan alam di sebut Asurakaya-Bhumi iaitu alam hantu dan roh. Dalam kitab suci Petavatthu-Atthakatha yang merupakan sebahagian kitab suci Buddha yang khusus menghimpunkan jenis-jenis hantu.”

Hantu, jika disamakan dengan istilah roh orang mati yang hidup semula, adalah tidak selari dengan kefahaman Islam itu sendiri. Kefahaman hantu secara vernakular di kalangan masyarakat kita kemungkinan datang daripada fahaman animisme, buddha dan hindu. Ia terserap ke dalam kepercayaan tahyul nenek moyang kita yang susur galurnya daripada anutan yang berbeza.

Dilihat kepada realiti zaman modern, kita wajar menukarkan pandangan ini kepada pendapat yang sebenar – iaitu hantu yang kita maksudkan (apabila kelihatan pada mata kasar bila tersingkap hijab, dsb) sebenarnya adalah jelmaan jin, syaitan dan iblis yang mempunyai tujuan tertentu untuk mengganggu manusia.

Gambar daripada teater Wangian
yang diinspirasikan daripada kisah
Misteri Bukit Salbiah
Menurut Ustaz Shahul Hamid, alam ghaib termasuklah jin tidak dapat dilihat mata kasar. Kalau terlihat atau terjelma sekalipun, makhluk-makhluk itu akan menjelma dalam bentuk kelibat-kelibat, binatang, dan rupa bentuk lain yang bertujuan untuk menakutkan kita. Itulah sebenarnya yang kelihatan pada masyarakat Melayu kita sebagai hantu.
Tapi kenapa laluan dan bangunan yang mana terdapatnya perlakuan jenayah, kematian dan pembunuhan biasanya menjadi “berhantu” dan “berpenunggu”? Banyak sebab yang mungkin boleh merungkai misteri tersebut. Nantikan hantaran akan datang mengenai penjelasan perkara ini.

Berbalik kepada misteri si malang Salbiah, perbicaraan selama 20 hari ke atas Inspektor Saderi akhirnya memberi keadilan buat Salbiah. Saderi akhirnya digantung sampai mati pada tahun 1984.

Jika kalian mahu merasakan sendiri pengalaman berjalan malam di sepanjang Bukit Salbiah, silakan. Tetapi, apa yang kalian akan alami, jangan pula dikaitkan dengan Salbiah. Biarkan rohnya tenang. Walau apapun kesilapan yang telah dilakukan, sama-samalah kita berdoa agar rohnya diberi keampunan. Wallahua’alam.

Kredit gambar foto:
Image by Couleur from Pixabay
Image by Pete Linforth from Pixabay 

Rujukan:

Pementasan Teater Wangian (Fragrance) yang diinspirasikan daripada kisah Salbiah: