Thursday 6 April 2017

Surau

Betulkah dalam surau pun boleh ada hantu? Wallahualam. Pada saya, surau ialah ruang solat di dalam sesebuah bangunan. Boleh jadi juga diganggu atau didekati 'benda' jika tidak digunakan sebaik mungkin, kotor, atau jarang digunakan. Ini cuma pendapat saya, kalau silap mohon maaf.
Apa yang nak saya kongsi malam ni ialah gangguan yang dialami seorang kenalan yang saya gelar Kak Wan. Pengalaman Kak Wan adalah gangguan ketika dia solat di sebuah surau.
Pada suatu hari, syarikat tempat Kak Wan bekerja mengadakan majlis makan malam di sebuah restoran Seafood. Kak Wan merupakan salah seorang staf yang terpilih menjadi urusetia majlis tersebut jadi sibuklah dia daripada pagi lagi, menguruskan apa yang patut.
Majlis diadakan pukul 8 malam. Sebelum majlis bermula, jam 7.30 mlm lagi restoran dah sesak dengan staf yang datang awal. Berpusu-pusulah mereka memenuhi surau yang kecil di restoran tersebut. Maklumlah, nak berpesta kan... masing-masing nak pakai baju dan make-up yang hebat, jadi berlumba-lumba solat dahulu.
Masa Kak Wan tiba di pintu surau punyalah sesak sampai ada yang beratur di luar pintu. Telekung pula berapa kerat jadi memang terpaksa tunggu lama. Kak Wan naik risau kerana sebagai urusetia, banyak lagi kerja yang dia perlu selesaikan.
Tiba-tiba, seorang pekerja restoran berbangsa Indonesia menegur. "Kak, kalau mahu solat, di bangunan depan ada surau selesa," ujarnya. "Jauh ke?" Soal Kak Wan. "Tak, seberang jalan ni aja, kan di bangunan oren depan ni ada lobi? Masuk ke lobi tu, ada sekuriti. Surau di situ-situ aja," ujarnya lagi.
Kak Wan fikir elok juga tu. Boleh tukar baju sekali dan make-up, siap-siap untuk majlis. Dia pun panggil kawannya Tini yang tengah beratur ikut serta.
Kak Wan dan Tini pun melintas. Dekat je. Masuk ke bangunan oren, ternampaklah kaunter reception dan 2 orang sekuriti yang bertugas. "Tumpang surau, boleh?" Sekuriti mengangguk-angguk, dan menunjukkan ke arah tangga. "Basement," ujarnya ringkas.
Walaupun rasa renyah nak turun ke basement, Kak Wan ikutkan saja. Nak cepat. Tini ikut di belakang. Nasib baik basement yang dimaksudkan bukanlah ruang parkir, tapi ruang lobi juga, cuba terletak di aras basement. Ruang tu malap, hanya satu dua lampu dinyalakan. Tiada sesiapa pun di lobi itu selain mereka. Dari hujung tangga sudah ternampak papan tanda surau. Mereka pun masuk cepat-cepat.
Gelap. Entah mengapa, meremang sekejap bulu roma Kak Wan. Suis ditekan. Ruang menjadi terang. Ruang tersebut agak besar juga, dipisahkan oleh satu palang kayu yang dijadikan bidai langsir. Ruang kanan untuk lelaki, ruang kiri untuk perempuan. Tiada sesiapa di situ.
"Ish, lain macam je kak," ujar Tini. "Kau ni Tini... Surau ni... tempat orang solat." Sebenarnya, menurut Kak Wan diapun rasa lain macam. Sengaja dia diamkan.
Mereka berwudhuk dan bersolat di satu sudut. Ketika rakaat kedua, lampu di sebelah ruang solat lelaki berkelip-kelip. Tak berapa lama kemudian, terdengar pintu surau dibuka, 'kreeek'. Yang anehnya tiada kendengaran orang masuk. Terganggu seketika khusyuk Kak Wan.
Langsir yang memisahkan ruang bergerak-gerak. "Ok, sah ada orang masuk," fikirnya. Selesai memberi salam, Kak Wan lipat telekung. Lampu di ruang solat lelaki masih berkelip-kelip. Sakit mata Kak Wan. Pening.
Tini masih bersolat. Kak Wan membongkar begnya untuk mengeluarkan baju persalinan dan make-up untuk dicalit. Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi orang berdengkur. Mulanya rasa lega, iyalah, kot sekuriti tumpang tidur dekat situ, sekurang-kurangnya ada orang. Tapi bila bunyi dengkurnya lain macam, Kak Wan tak sedap hati.
"Siapa berdengkur tu kak?" Soal Tini yang baru habis bersolat. "Adalah tu kot orang," jawab Kak Wan ringkas. Dia masukkan balik bajunya ke dalam beg. "Kita tukar di tandas ajalah, ada orang lelaki kat sebelah." Tini setuju.
Mereka meninggalkan surau. Ketika memakai kasut, Tini menjenguk ke dalam ruang solat lelaki. Bunyi berdengkur masih kedengaran. Muka Tini berubah. Pucat.
"Kak! Mana ada orang!" Kak Wan menarik tangan Tini keluar segera. Tak cukup kaki rasanya. Mereka terus lari naik tangga. Pintu surau dibiarkan terbuka.
'PANG!' Pintu surau tertutup dengan sendirinya. Ketika mendaki tangga, terdengar bunyi seperti orang mendengus dari bawah tangga. "HUH!"
Sekuriti yang ada di meja reception berlari-lari anak menghampiri Kak Wan dan Tini. "Apa hal?" Soalnya. Malas Kak Wan nak jawab. Nak keluar masa tu juga.
Kak Wan dan Tini pulang ke restoran dan tukar baju dalam tandas saja. Kalau tahu nak jadi macam tu katanya, sanggup dia beratur panjang kat surau restoran tu....