Kisah Seram LPT : Gerai malam dan helaian rambut misteri buatkan pemandu serik

 

Kisah Seram LPT

Acara perasmian homestay milik seorang rakan membawa Ashraf merentasi LPT sehingga ke Paka, Terengganu buat pertama kalinya.

“Saya jarang sekali ke Pantai Timur kerana tiada urusan. Kalau ke sebelah sana, paling-paling pun saya sekadar ke Kuantan, melawat pakcik saya yang dah pencen dan tinggal di Bukit Sekilau,” ceritanya kepada penulis ketika mengimbau kembali kisah seram yang dialaminya sekitar 2018.

Walaupun telah beberapa tahun berlalu, kejadian tersebut masih segar dalam ingatannya dan membuatkan dia lebih berhati-hati ketika memandu pada waktu malam.

Menurut Ashraf, pada hari dia ke Paka bersama tunangnya, Safiya, dia pada asalnya bercadang untuk menetap satu malam bersama rakan-rakan yang lain.

“Homestay yang hendak dirasmikan itu, milik kawan saya dan keluarganya yang saya telah kenal lama. Jadi ibunya mengajak kami bermalam di sana sambil-sambil mengambil gambar untuk dipromosi di media sosial masing-masing,” tambah Ashraf.

Majlis yang bermula daripada pagi berjalan lancar. Namun, lebih kurang jam 8 malam, Ashraf yang mengendalikan syarikat menjual motorsikal, menerima panggilan daripada seorang staf.

“Staf saya call. Katanya ada emergency berkenaan program yang kami akan adakan esok di Kuala Lumpur. Nak tak nak, saya kena balik juga,” Ashraf meneruskan cerita.

Ashraf memberitahu Safiya dan mencadangkan agar Safiya sahaja bermalam di Paka, manakala dia pulang ke Kuala Lumpur. Namun, Safiya menolak kerana segan jika berseorangan. Dia mahu balik bersama.

Untuk mengambil hati tuan rumah, mereka terus mengikuti acara hingga hampir jam 11 malam, lalu memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 12 malam.

“Saya sebenarnya tak pernah tahu pun tentang kisah-kisah seram di LPT ni. Macam yang saya katakan tadi, saya jarang ke Pantai Timur jadi tak pernah pun tergerak untuk ambil tahu,” ujarnya.

Menurut Ashraf, perjalanan pulang dari Paka berjalan lancar dan tidak bermasalah pada awalnya. Safiya tertidur selepas setengah jam kenderaan bergerak meninggalkan Ashraf berjaga seorang diri untuk meneruskan pemanduan.

“Jujur, saya tak fikir apa pun. Cuma fikir nak cepat sampai. Safiya pun tertidur. Jadi saya tak ada bercadang nak singgah berhenti di mana-mana memandangkan minyak kenderaan juga saya telah isi penuh semasa di Paka,” ceritanya.

Tidak dinafikan, suasana malam di lebuhraya itu sedikit sebanyak memberikan perasaan seram kepada Ashraf.

“Biasalah, highway malam-malam memang gelap dan mungkin menimbulkan rasa seriau. Cuma, pada malam tu, kenderaan di LPT kurang sangat. Kadang-kadang tak nampak langsung kereta. Itu yang buat saya seram. Sebab selalunya di highway, ada saja kereta di depan dan belakang kita. Ini… tak ada. Macam berada di dunia lain,” luahnya.

Selepas sejam lebih memandu, Ashraf terasa untuk membuang air kecil. Hatinya lega bila melihat papan tanda sebuah R&R selepas melepasi daerah Chukai.

Dari jauh, kompleks R&R tersebut nampak malap seperti ditutup. Namun itu tidak menjadi penghalang kepada Ashraf kerana niatnya pada ketika itu hanya sekadar mahu membuang air kecil. Lagipun, di kawasan R&R pasti banyak lori dan bas berhenti rehat.

“R&R ni lain daripada R&R yang saya biasa singgah. Nak masuknya tu ke dalam betul. Jauh dari simpang. Saya ingatkan, bila dah masuk dalam tu, mungkin nampak kenderaan lain juga tapi lain pula yang jadi. R&R tu kosong. Satu kenderaan pun tak ada. Lampu ada yang menyala tapi malap je. Tak ada orang. Yang saya nampak, cuma satu gerai yang lampunya terang.”

Mengambil keputusan untuk memarkir kereta berhampiran gerai yang berlampu, Ashraf mengejutkan Safiya dan bertanya kalau Safiya mahu ke tandas juga. Safiya menggeleng dan mengatakan dia mengantuk, jadi Ashraf keluar berseorangan.

“Alang-alang ternampak kedai yang masih buka, saya pun singgah untuk membeli kopi. Saya ingat, lepas ke tandas nanti, bolehlah saya datang ambil kopi tu.”

Sebaik tiba di gerai tersebut, Ashraf langsung tidak disapa dua orang peniaga yang kelihatan sibuk menyediakan makanan.

“Pelik, mereka langsung tak tegur saya. Mereka sibuk buat kerja. Saya tengok jam di tangan. Pukul 1.30 pagi. Saya tengok keliling tak ada orang. Saya tertanya-tanya, yang dia orang sibuk sangat ni kenapa?”

Oleh kerana panas hati dengan sikap peniaga yang tidak mengendahkan kehadirannya, Ashraf terus berlalu tanpa membuat pesanan.

Sepanjang perjalanan ke tandas, bulu roma Ashraf tiba-tiba meremang. Semasa di tandas juga, dia berasa tidak sedap hati kerana terasa dirinya diperhatikan.

“Dengan kawasan yang malap dan tak ada orang itu, memang saya rasa lain macam. Mata saya tak tengok dah kiri dan kanan. Selesai buang air, saya cepat-cepat basuh tangan dan berjalan laju-laju ke kereta. Terlupa terus kemarahan saya pada peniaga tadi.”

Ketika menghampiri kereta, Ashraf berasa lega kerana ada sebuah teksi lama diparkir di sebelah keretanya. Lampu teksi itu menyala dan enjinnya juga dibiarkan hidup dengan tingkap pemandu turut diturunkan. Seorang lelaki dalam usia 60-an kelihatan sedang menghisap rokok.

“Bila nampak saya, pak cik itu terus menyapa. Dia tanya kalau saya ke tandas. Saya jawab ya. Yang menghairankan, dia terus berkata… Jangan berhenti di sini, bahaya, tak ada orang. Isteri pun tinggal sorang dalam kereta.

Menurut Ashraf, lelaki itu terus berlalu meninggalkannya selepas berkata begitu.

“Ketika saya mula menekan minyak, saya sempat jeling ke arah gerai yang saya singgah tadi. Terkejut saya bila mendapati gerai tersebut gelap gelita. Tidak ada orang langsung. Saya terfikir, takkanlah gerai tu tutup tiba-tiba?”

Dengan keanehan demi keanehan, Ashraf mengejutkan Safiya agar dia tidak berjaga berseorangan. Untuk menyedapkan hati juga, Ashraf memasang radio dengan kuat. Dia turut memandu agak laju dengan harapan segera sampai.

Selepas 20 minit memandu, Ashraf mula terfikir. Di mana pula perginya pak cik yang menegurnya tadi? Dengan teksi Toyota lama, tidak mungkin pak cik itu boleh bergerak laju. Kalau ikutkan logik, dia sepatutnya telah memotong teksi tadi.

“Saya baru hendak membuka mulut untuk menceritakan kejadian tadi kepada Safiya, tapi belum sempat saya kata apa-apa, Safiya menunjuk ke depan dan tiba-tiba menjerit.”

Satu sosok berwarna hitam tiba-tiba terbang dari arah kanan dan berhenti betul-betul di tengah laluan lebuhraya. Tubuhnya seakan monyet. Dengan kelajuan keretanya pada ketika itu, Ashraf tidak sempat mengelak lalu menjerit sekuat hati.

Anehnya, Ashraf dan Safiya tidak mendengar sebarang bunyi perlanggaran berlaku. Mereka seakan-akan meredah ‘angin’.

“Saya perlahankan kereta dan melihat di semua cermin pandang belakang... tak nampak apa-apa. Sungguh tak ada apa-apa. Safiya masih menjerit-jerit walaupun kami dah tinggalkan tempat tu jauh. Dia yang betul-betul menoleh dan memandang ke belakang pun kata dia tak nampak apa-apa.”

Kejadian itu membuatkan Ashraf dan Safiya berdebar-debar sehingga tiba di Kuantan.

“Bila menghampiri Kuantan, kami mengambil keputusan untuk berhenti di Petronas Gambang untuk minum dan tenangkan diri. Bila kami turun dari kereta, kami terus periksa bumper depan untuk memastikan kami betul-betul tidak melanggar apa-apa. Yang anehnya, walaupun bumper tidak kemek atau bercalar, terdapat beberapa helai rambut yang panjang dan kasar melekat pada bumper kereta saya. Safiya cepat-cepat menguis helaian-helaian rambut tu dengan tisu,” cerita Ashraf panjang lebar.

Dia bersyukur dia akhirnya tiba di Kuala Lumpur dengan selamat dan tiada kejadian lebih buruk berlaku.

“Bila saya cerita tentang pak cik pemandu teksi yang menegur saya di R&R tu, Safiya tanya, adakah lagi teksi lama berwarna biru? Sebetulnya saya pun tak tahu dan masa kejadian tu saya tak fikir apa-apa pun. Entahlah, kalau pak cik tu orang, oranglah. Kalau bukan, bukanlah. Dia pun hanya memberikan nasihat dan mungkin juga berada di situ untuk tengok-tengokkan Safiya. Wallahualam,” kata Ashraf yang menganggap kejadian pelik yang dialaminya adalah dengan izin Allah dan membuatkan dia lebih berhati-hati ketika memandu pada waktu malam.

Bila ditanya tentang kes-kes mistik lain di kawasan yang sama, Ashraf berkata, “Saya dengar banyak cerita tentang tempat tu tapi saya pun tak berani nak cakap. Saya hanya kongsikan apa yang saya alami saja. Tapi saya kasihan bila mendengar peniaga-peniaga di sana terkesan kerana kisah-kisah seram ni buatkan orang ramai tak mahu singgah ke sana pada waktu malam. Saya harap keadaan bertambah baik sekarang. Kalau betul tempat tu ada gangguan, mungkin orang-orang yang berpengalaman dan perawat dapat datang membantu,” ujar Ashraf mengakhiri perbualan.