Kisah Seram : Ada Benda Mengikut Sampai Ke Luar Negara, Apakah Itu Saka?

Kisah Seram Saka Jubah Hitam

Penulis pada kali ini ingin berkongsi kisah seorang kenalan bernama Barizah. 

"Saya tak tahu kenapa, tetapi setiap kali saya demam, atau sakit, saya selalu ternampak satu kelibat dekat dengan saya," ujarnya memulakan cerita.

Menurut Barizah, dia mula menyedari kehadiran kelibat itu sejak di sekolah menengah lagi.

"Masa zaman remaja dulu, saya menetap bersama keluarga di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras. Pada suatu petang ketika saya sedang demam, emak menyuruh saya tidur di katil biliknya kerana ingin mengemas bilik saya. Saya tertidur hinggalah ke malam. Bila saya terjaga, saya dapati pintu balkoni di bilik mak terbuka dan seakan-akan ada orang duduk di situ. Saya sangkakan emak, tetapi bila saya mengintai, saya nampak satu kelibat wanita memakai jubah hitam sedang bertenggek di pengadang balkoni."

Selepas kejadian itu, Barizah semakin kerap terlihat kelibat yang sama setiap kali diserang demam. 

"Pada mulanya, saya sangkakan saya mugkin berkhayal. Maklumlah ketika demam, kepala terasa sakit dan kadangkala bingung selepas makan ubat. Saya tidak menceritakan penampakan-penampakan tersebut kepada emak saya kerana kelibat itu selalunya hilang sekelip mata dan tidak pernah  mengganggu sehingga menakutkan saya. Sebab itu saya percaya ia cuma khayalan saja."

Namun, insiden yang berlaku ketika menyambung pelajaran di luar negara membuatkan Barizah mula mempersoalkan kemungkinan apa yang dilihatnya lebih daripada sekadar bayangan.

"Semasa menyambung pelajaran di UK, saya menyewa bilik dengan seorang lagi pelajar Malaysia. Pada satu malam, saya demam dan hanya berbaring di katil. Kawan sebilik saya bertanya kalau mahu mengirim makanan kerana dia ingin keluar. Saya tak ada selera masa itu, jadi kawan saya pun pergi. Tak lama kemudian, saya terdengar tapak kaki orang menaiki tangga. Saya sangkakan, mungkin kawan saya tu tertinggal barang, jadi saya biarkan. Tapi bila pintu dibuka, saya terkejut kerana ternampak kelibat perempuan berjubah hitam yang sama seperti yang dilihat sebelum-sebelum ini memasuki bilik dan menghampiri saya yang terbaring di katil. Dalam ketakutan, saya terus berselubung."

Menurut Barizah, dalam terketar-ketar menahan rasa takut, dia dapat merasakan makhluk itu berhenti di tepi katil lalu duduk di tepinya.

"Sungguh, saya dapat merasakan tilam saya terhenyak ke dalam seakan diduduki seseorang. Saya tak berani langsung memandang, tapi saya tahu dia ada si situ," ceritanya.

Barizah kemudian membaca ayat kursi berulang kali sehinggalah keberaniannya datang.

"Saya selak selimut dan memandang ke wajah makhluk itu dan mendapati ia tiada muka. Hitam... kosong saja. Sekelip mata kemudian dia hilang," cerita Barizah. 

Rupa-rupanya, kelibat misteri itu pernah dilihat oleh rakan sekolej sewaktu pengajian di maktab lagi, sebelum dia menyambung pengajian di UK.

"Saya tak tahu, rupa-rupanya selama ni, rakan sebilik saya, Syikin, pernah terlihat kelibat itu beberapa kali ketika sama-sama belajar di maktab perguruan. Saya pun hanya mengetahui beberapa tahun kemudian, semasa bertemu semula Syikin dalam satu majlis reunion."

Barizah pernah bertanya kepada emaknya mengenai kelibat tersebut.

"Emak pernah membawa saya berjumpa dengan seorang ustaz, dan ustaz itu kata saka keturunan yang kononnya menjaga saya. Tapi, ustaz itu tidak pula membuang saka tersebut kerana proses itu agak rumit."

Menurut Barizah, emaknya mendakwa keturunan di sebelahnya tidak pernah membela apa-apa. Agak sukar untuk Barizah menemui keluarga sebelah ayahnya kerana telah lama meninggal dunia dan kebanyakan mereka tinggal berjauhan dan tidak begitu rapat.

"Sampai sekarang saya tak pasti betulkah itu saka. Tapi, selepas berjumpa ustaz dahulu, adalah dia ajarkan ayat-ayat untuk diamalkan dan sekarang, semakin meningkat usia, saya jarang ternampak lagi," ujar Barizah.

Bila ditanya apakah dia tidak mahu berubat sepenuhnya, dia menyatakan dia bercadang untuk berbuat demikian jika berjumpa perawat yang  berkemahiran kerana tidak mahu makhluk tersebut berkemungkinan mengganggu anak-anaknya pula.