Menulis cerpen ni, nampak macam senang. Mungkin sebab pendek, kita rasa macam mudah. Tapi, sebenarnya tak juga, bukan senang nak tulis cerita pendek yang betul-betul punchy.
Sebagai penulis bebas yang dah beberapa tahun menulis cerpen
seram, puisi, dan buku kanak-kanak, Kak Nida masih anggap Kak Nida dalam mode
belajar lagi.
Tak semua cerpen Kak Nida menjadi. Ada juga yang tak berapa umph.
Tapi tak apa, yang bagusnya, penulisan ni satu kemahiran, lagi banyak kita
buat, makin mantaplah kita. Ya tak?
Kalau korang minat menulis dan nak tahu cara nak mantapkan cerpen, Kak Nida ada beberapa tips yang mungkin berguna untuk korang. Tips ni sebenarnya lebih sesuai untuk penulis baru, tapi mungkin sesuai juga untuk penulis berpengalaman yang nak mantapkan cerpen korang. Jom Kak Nida kongsikan.
1. Kenali Genre Cerpen Untuk Menulis Dalam Mood Yang Betul
Sebelum mula menulis, korang kena tahu dulu cerita jenis apa
yang korang nak tulis. Ini mungkin bunyi macam ‘elehhh’ kan… tapi ada cerpen yang
Kak Nida baca, dia macam tak ada arah tuju. Cerpen ni tak panjang, jadi kita
kena lebih fokus dengan apa yang ingin diceritakan. Tetapkan genre dari
awal dan mula menulis ikut mood genre tu.
Sebagai contoh, Kak Nida kan menulis cerpen seram?
Jadi, elemen utama mestilah suasana yang menakutkan dan penuh tanda tanya. Sebelum
mula menulis cerita seram, Kak Nida akan bayangkan suasana tempat
kejadian—mungkin rumah usang yang gelap, atau lorong sunyi waktu malam. Dari
situ, baru Kak Nida mula menulis.
Bila mood kena dan kita fokus, barulah penulisan kita menjadi
dan sedap dibaca. Sebabnya, macam contoh yang Kak Nida bagi tadi, cerita seram,
takkanlah nak tulis happy-happy dengan perkataan yang sweet-sweet kan? Tak
kena. Jadi, dapatkan mood dan fokus dengan betul untuk hasilkan cerpen yang
mempunyai penceritaan yang bagus. Pembaca pun baca dengan puas macam tengok filem, gitu!
Tips: Kak Nida sarankan korang baca karya-karya dalam genre yang sama untuk lihat teknik penulisan penulis lain. Kak Nida sendiri suka membaca karya Ramlee Awang Murshid dan kadangkala megulang baca karya Tamar Jalis untuk belajar teknik penulisan mereka.
2. Dapatkan Idea Cerpen yang Kuat Sebelum Mula Menulis
Sebelum menulis, korang kena ada idea yang jelas
tentang apa yang korang nak sampaikan. Tak perlu semua perincian, tapi
sekurang-kurangnya ada gambaran umum untuk struktur cerita. Nanti korang nak
menulis pun senang.
Contoh, nak cerita pasal konflik dalaman watak? Senaraikan
konflik tu siap-siap dan kejadian-kejadiannya. Atau, korang nak buat plot twist yang
gempak di hujung cerita? Catit nota tu untuk rujukan kemudian. Benda ni lebih baik korang
rancang dari awal supaya senang bila mula menulis.
Kadang-kadang, idea boleh datang bila kita tengok atau
dengar sesuatu. Ada satu cerpen seram Kak Nida bermula dari bunyi ketukan pintu
waktu malam saja. Nampak kecil, tapi dari situ, Kak Nida kembangkan jadi satu
cerita misteri yang buat orang tertanya-tanya.
Jadi, walaupun cerpen ni satu penulisan yang tak panjang, perjelaskan ideanya dalam otak kita dulu, brainstorming dan buat nota rujukan sebelum mula menulis.
Tips: Penulisan cerpen berdasarkan pengalaman sendiri dan kisah benar lebih mudah untuk ditulis kerana kita dah ada plot dia dalam kepala. Jadi, walaupun apa pun genre yang korang tulis, selitkan pengalaman sendiri atau mulakan cerita dengan kisah benar korang. Dengan cara ni, korang akan mudah dapat tempo menulis. Still, korang kena catit idea struktur dalam nota supaya senang jadi rujukan nanti.
3. Buat Pembukaan Cerpen yang Padu
Macam yang korang tahu, cerpen ni pendek. Tak macam novel.
Jadi, bahagian pembukaan sangat penting sebab kalau tak menarik, pembaca
mungkin tak nak teruskan pembacaan.
Elak pembukaan yang terlalu perlahan atau penuh dengan
maklumat tak penting. Sebaliknya, mulakan dengan aksi, misteri,
atau dialog menarik yang buatkan orang nak tahu apa yang akan berlaku
seterusnya.
Sebagai contoh, salah satu cerpen Kak Nida bermula dengan
bunyi tapak kaki dalam bilik sunyi. Pembaca terus tertanya-tanya, “Eh, siapa
yang berjalan malam-malam ni?” Dari situ Kak Nida mula huraikan misteri tu.
Dalam cerpen, tak perlulah dari awal nak cerita pengenalan
dulu, latar belakang watak, huraian berjela-jela… tak perlu semua tu. Buka saja
cerita, terus masukkan insiden supaya perjalanan cerita tidak melewah-lewah.
Tips: Kalau korang jenis rang yang suka berangan, bagus! Gunakan skil berangan-angan korang untuk membayang pembukaan cerita yang buatkan orang akan terus membaca.
4. Cipta Watak yang Menarik, Tapi Jangan Terlalu Banyak
Walaupun cerpen pendek, watak-watak dalam cerita perlu ada
personaliti yang menarik. Yang penting, jangan letak terlalu banyak watak! Pun
begitu, korang jangan takut cipta watak yang kompleks – walaupun tak banyak
ruang untuk pengembangan watak, cuba beri mereka sesuatu yang istimewa, sama
ada dari segi cara mereka bercakap, ketakutan mereka, atau matlamat
hidup.
Dalam cerpen seram Kak Nida, watak utama biasanya ada
konflik dalaman, seperti rasa bersalah atau ketakutan yang diorang pendam. Ini
menjadikan watak lebih ‘hidup’ dan pembaca boleh rasa lebih dekat dengan watak.
Hadkan watak utama dalam 1-3 orang sahaja. Bagi nama yang
mudah diingat dan kena dengan latar genre cerita korang.
Tips: Ini hanya pengalaman peribadi Kak Nida. Biasanya Kak Nida sandarkan satu-satu watak tu dengan orang yang Kak Nida kenal. Jadi, bila Kak Nida menulis, Kak Nida akan bayangkan orang yang dikenali tu sebagai watak dalam cerita Kak Nida. Senang, kan? Sebenarnya, pada pandangan Kak Nida, cerpen lebih mudah ditulis dengan POV1. Mungkin sebab tu, cerpen-cerpen Kak Nida banyak berdasarkan pengalaman sebenar yang difiksyenkan. Tapi ini hanya preference Kak Nida saja. Korang yang suka menulis dengan POV 3 pun tak ada masalah.
5. Suasana yang Menghidupkan Cerita
Suasana sangat penting dalam cerpen berdasarkan genre cerpen
korang. Setting atau suasana yang kuat boleh bantu cerita jadi lebih
realistik dan beri impak kepada pembaca.
Bagi Kak Nida yang menulis cerpen seram, Kak Nida suka
gunakan tempat-tempat sunyi atau terasing— contohnya rumah lama, rumah tinggal, hutan
atau suasana waktu maghrib/malam. Tempat-tempat macam ni cepat buat pembaca
rasa tak selesa dan tertanya-tanya. Jadi, impaknya lebih terasa bagi cerita
seram.
Kalau korang menulis genre cinta, gunakan lokasi-lokasi yang
romantis untuk zahirkan suasana tu dalam cerpen korang.
Tips: Kalau korang nak suasana yang real, korang pergi sendiri ke tempat tu untuk dapatkan feel. Bunyinya macam over kan? Tapi serius, kalau korang buat macam ni, korang akan dapat lebih banyak idea untuk menerangkan suasana dengan lebih berkesan. Contoh, Kak Nida suka pergi ke kawasan tinggalan sejarah macam Kellies Castle, Bukit Jugra, Istana Bandar Lama, Bukit Malawati, dan lain-lain tempat yang invoke suasana seram supaya dapat feel suasana di situ untuk diterjemahkan dalam penulisan Kak Nida.
6. Buat Konflik yang Jelas
Setiap cerpen mesti ada konflik. Ini yang akan
menggerakkan jalan cerita. Konflik boleh jadi dalaman (watak melawan emosi atau
diri sendiri) atau luaran (watak melawan orang lain, keadaan, atau hantu dalam
cerita seram).
Tak perlu buat konflik yang terlalu rumit, tapi pastikan ia
cukup untuk membuatkan pembaca rasa ingin tahu dan nak tahu apa yang akan
berlaku seterusnya. Dalam cerita Kak Nida, Kak Nida selalu pastikan konflik
datang secara beransur-ansur, dan setiap babak ada unsur ketegangan.
Tips: Penyataan konflik pada awal cerita juga agak menarik bagi penulisan cerpen. Ia akan buatkan orang tertanya-tanya untuk cerita sterusnya.
7. Pastikan Cerita Bergerak dengan Lancar
Cerpen perlu ada pace atau kelajuan cerita yang
sesuai. Jangan terlalu perlahan sampai pembaca bosan, tapi jangan terlalu cepat
sampai mereka tak sempat memahami cerita. Setiap babak perlu ada tujuan—sama
ada untuk kembangkan watak, tambah konflik, atau bawa cerita ke klimaks.
Dalam cerita seram Kak Nida, Kak Nida cuba pastikan setiap
babak ada unsur misteri atau tanda tanya yang buat pembaca
tertarik untuk teruskan.
Tips: Untuk pastikan jalan cerita korang lancar, tulis dulu cerpen lepas tu semak balik bila dah siap. Baca sekali harung. Kalau ada babak yang macam tak kena, fikirkan cara untuk sambungkan agar cerita jadi logik dan sedap dibaca.
8. Klimaks dan Penutup yang Memuaskan
Klimaks dan penutup cerpen adalah antara bahagian
yang paling penting. Pembaca dah invest masa untuk baca cerita korang, jadi
mereka pasti nak penutup yang memuaskan. Dalam cerita seram, kadang-kadang
penutup yang tak dijangka atau mengejutkan boleh beri impak
besar.
Kak Nida suka buat penutup yang tinggalkan sedikit tanda
tanya, macam: “Dan sejak malam itu, pintu bilik itu tak pernah tertutup
lagi.” Ini akan buat pembaca terus berfikir, “Apa yang terjadi sebenarnya?”
Jangan terkejut, kadangkala, lain pembaca, lain pula
pemahamannya tentang cerpen kita. Itu yang best bila ada elemen misteri dan
tanda tanya, tak kira cerpen untuk genre apa asalkan sesuai dengan jalan
ceritanya.
Tips: Buat penutup yang best ni perlukan kemahiran dan imaginasi yang kreatif. Rajin-rajinlah tengok filem sebab pada Kak Nida, cara ni selalu bagi Kak Nida idea untuk bagi ending pada cerpen Kak Nida.
9. Edit dan Buang penulisan yang lewah
Jangan lupa, mengedit adalah bahagian penting dalam
menulis cerpen. Selepas menulis, baca semula dan buang mana-mana bahagian yang
tak perlu. Pastikan cerita anda ringkas, padat, dan penuh makna.
Kadang-kadang, masa edit saya akan jumpa ayat yang tak
perlu, dan buang. Ini buat cerita lebih lancar dan sedap dibaca.
Tips: Bila kita selesai menulis, baca semula cerpen kita dan buang bahagian yang tak perlu dan dialog yang hanya menambah perkataan. Penerangan tentang suasana, perasaan dan keadaan itu perlu tetapi elakkan daripada huraian yang berlebih-lebihan. Untuk sesebuah cerpen, tumpukan kepada kejadian atau plot. Sebabnya, sesebuah cerpen tu terhad perkataannya. Jadi, jangan bazirkan pada perkataan yang sia-sia yang tak membantu penceritaan kita.
Jadi apa kesimpulan daripada tips-tips tadi?
Menulis cerpen adalah satu seni yang seronok tapi mencabar.
Dengan idea yang jelas, watak yang kuat, dan naratif yang
lancar, korang boleh hasilkan cerpen yang bukan sahaja menarik tapi berkesan.
Jangan takut untuk bereksperimen dengan gaya penulisan dan selalu belajar
daripada kesilapan.
Dan yang paling penting, teruskan menulis! Macam yang Kak
Nida katakan tadi, Kak Nida sendiri pun masih belajar memperbaiki penulisan Kak
Nida. Lagi kerap kita menulis, insya-Allah, semakin baik penulisan kita.
Akhir kata, Selamat Berkarya!
0 Ulasan