Anyway, pada 2017, Kak Nida baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Melalui jaringan penulis dan pelukis tempatan serta aktiviti seni yang berkaitan, Kak Nida telah berkenalan dengan Pak Yusof Gajah dan sering menghadiri bengkel seni lukis beliau. Entah macam mana, kami serasi berbual maka terjalinlah hubungan anak murid dan guru yang erat. Kak Nida juga turut rapat dengan isterinya, Mama Zakiah.
Suatu hari, masa berbual-bual dengan Pak Yusof, beliau tiba-tiba mencadangkan untuk mengadakan rombongan seni ke Jogja. "Nida tanya kawan-kawan penulis dan pelukis siapa nak turut serta. Kita buka saja secara umum. Pergi sama-sama, tempah hotel yang sama dan sewa van untuk berjalan-jalan bersama. Kos masing-masing, tapi macam van tu kita boleh kongsi dan bagi-bagi."
"Apa tempat-tempat lawatan yang Pak Yusof cadangkan?" soal saya. Memang menarik bunyinya tapi saya kurang yakin kalau ada yang nak mengikut sebab saya ni penulis baharu. Siapa pula nak ikut kalau saya yang ajak.
"Kita pergi rumah-rumah artis pelukis. Kawan-kawan saya semua. Mereka pelukis tersohor Indonesia. Kita ke rumah mereka, tengok studio mereka, tengok cara mereka bekerja, dengar falsafah dan pemikiran mereka. Kemudian kita ke pasar buku, dan melawat galeri Hafiz" terangnya. (Hafiz ialah seorang pembuat buku pop-up kanak-kanak).
Masa tu mata Kak Nida terasa macam bercahaya. "Seronoknya!" Kak Nida dapat merasakan golongan penulis dan pelukis akan dapat manfaat daripada aktiviti begitu. Santai tapi bermanfaat. Jalan-jalan bukan sebab nak melancong biasa-biasa tapi betul-betul dapat menimba ilmu. Lebih daripada sekadar baca poster di galeri dan muzium. Dapat jumpa tokoh tempatan dan berdiskusi pula dengan mereka!
Alhamdulillah, beberapa orang penulis dan pelukis berminat. Kak Nida pun membantu Pak Yusof untuk membuat koordinasi lawatan dan akhirnya terbanglah kami ke Jogjakarta.
Apa yang menarik tentang trip ini yang boleh menjadi panduan kalian untuk kembara ke bumi Jogja?
- Jalan Malioboro adalah sebatang jalan beli-belah yang terkenal dengan bermacam jenis kedai dan gedung, daripada batik dan kraf tradisi hinggalah kepada kedai-kedai moden. Kalau kalian suka tempat yang 'lively' tapi tidak terlalu sesak, carilah hotel di lorong-lorong sepanjang Jalan Malioboro. Seperti rombongan kami, kami diperkenalkan oleh Pak Yusof dengan Hotel Peti Mas, penginapan kegemaran beliau. Sungguh, hotel tersebut sangat unik kerana stail binaannya seperti resort di Bali. Masuk-masuk kawasannya nampak kecil tapi ada courtyard di tengah-tengah yang luas dan terbuka siap dengan kolam renang dan tempat makan outdoor. Setiap pagi kami dihidangkan dengan pilihan sarapan yang sedap seperti beberapa jenis nasi (seperti nasi goreng) dan pilihan western breakfast dengan roti dan telur.
- Kalau mahu membeli batik dan kraf, tidak perlu pergi ke gedung-gedung besar yang disarankan pemandu pelancong, atau driver van/kereta. Itu semua tourist trap. Sebaiknya beli saja di kedai tepi-tepi jalan sepanjang Jalan Malioboro.
- Kalau mahu sate kambing yang sedap, berkunjunglah ke gerai sate Pak Amat dekat alun-alun (padang/dataran berhampiran keraton atau istana).
- Malam hujung minggu di penghujung Jalan Malioboro suasananya macam ada pesta. Orang berkumpul dan kadangkala ada pertunjukan nyanyian, aksi lucu, malah ada cosplay 'pocong'. Ini adalah pada 2017, Kak Nida tak pasti kalau masih ada lagi sekarang.
- Jogja kaya dengan galeri dan muzium seni. Kepada peminat paranormal dan benda-benda seram dan misteri pula (haha!) bolehlah berkunjung ke Ulen Sentelu. Sayangnya masa trip kami, kami tak sempat masuk kerana masa agak terhad. Kak Nida memasang azam untuk ke sana satu hari nanti. Tapi apa menariknya di Ulen Sentelu tu? Ini nantilah Kak Nida tulis dalam penulisan akan datang.
- Ambillah peluang menaiki kereta kuda di Jalan Malioboro. Kereta kuda yang disewa boleh membawa anda sehingga ke alun-alun sambil melihat suasana malam kota Jogja.
- Jogja adalah sebuah daerah istimewa (masih mempunyai Raja) di Indonesia, dan ramai orang Islam. Makanan tidak menjadi masalah, dan masjid dan surau senang didapati.
- Jika anda ke Jogja, sebenarnya ia tidak jauh dari tempat menarik lain seperti pantai-pantai ala resort santorini. Oleh kerana kami tidak berhasrat melancong seperti itu, kami tidaklah meneroka ke arah itu tetapi kalau kalian berminat, Google sendiri dan lihatlah tempat-tempat percutian tepi pantai yang begitu menarik di Jogja.
- Borobudur juga tidak terlalu jauh dari Jogja. Kalian boleh melakukan day-trip ke Borobudur jika mahu tapi pastikan bergerak ke sana awal. Maklumlah, di sini lagi macet!
Juadah Jogja wajib cuba
- Nasi Goreng Kambing
- Sate Kambing
- Gudeg (Semacam sambal nangka dimakan dengan nasi)
- Ronde (Air yang dicampur halia dan bahan-bahan lain, menyegarkan!)
- Bakpia (Pastri berinti, tekstur seperti kuih bulan)
Berbalik kepada istilah healing tadi, apa yang Kak Nida nak sampaikan adalah travel dengan cara mencari ilmu inilah healing yang sebenar-benarnya! Kami bukan saja berkenalan dengan penulis dan pelukis Indonesia malah meluangkan masa bertukar-tukar ilmu dan fikiran dengan mereka. Malah, lebih seronok, kami tidak perlu risau dengan pakaian yang cantik, make-up make-up, nak ambil gambar cafe hipster, atau berposing untuk media sosial. Tiada tekanan untuk itu dan ini, hanya diri kita dan rakan-rakan like-minded mencari ilmu dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Masing-masing lupa dengan masalah masing-masing. Walaupun tidak mengenali antara satu dengan lain, di bumi Jogja kami semua berkawan rapat! Malah sehinggalah ke hari ini, ada antara kami yang masih menjadi 'writing buddies' walaupun Pak Yusof telah tiada.
Oleh kerana kumpulan kembara ni tak boleh nak move-on dan masih terbayang-bayang keseronokan kembara kami, kami akhirnya menulis pengalaman masing-masing dan menerbitkannya dalam sebuah buku bertajuk Kembara Seni Jogja yang dilancarkan pada 2022. Bayangkan dah bertahun-tahun tapi pengalaman tu masih diraikan dan segar dalam ingatan.
Buku Kembara Seni Jogja bukan sahaja bermakna buat kami yang terlibat tetapi juga merupakan satu rujukan yang baik untuk kalian yang mahu menganjurkan acara kembara ilmu seperti ini atau untuk kalian yang nak tahu tempat-tempat hidden gems yang telah kami kunjungi.
Kembaralah kalian! Berjalanlah dengan kawan-kawan yang like-minded bukan sekadar nak shopping atau makan sedap-sedap. Silakan berhealing dengan ilmu dan rasai pengalaman yang pastinya tak dapat kalian lupakan.
0 Ulasan