Pandangan hadapan bangunan
Perpustakaan Komuniti Bukit Damansara ni letaknya tak jauh daripada Pusat Sains Negara. Bangunannya kecil tapi nampak eksklusif dengan seni bina kolonial. Tambahan pula lokasinya di kawasan elit bersebelahan sebaris rumah berkembar, 9 Beringin.
Buku pilihan yang dipamerkan
Perpustakaan ni ada dua tingkat. Bahagian bawah mempunyai stesen komputer, beberapa rak buku umum, seksyen kanak-kanak dan kaunter pinjaman buku. Di sini juga terdapat tandas lelaki dan perempuan. Disediakan juga beberapa meja kerja untuk mereka yang ingin membaca dan mereka yang membawa laptop sendiri.
Ruang komputer. Mereka yang membawa laptop tidak dibenarkan menggunakan meja ini.
Apa yang Kak Nida nampak, di sini ramai juga pengunjung yang datang untuk study dan mereka yang bekerja sendiri datang untuk membuat kerja. Kalau ikut pengalaman Kak Nida, untuk pastikan kita mendapat meja dan tempat duduk yang selesa, kita kena datang dalam pukul 10 pagi, sama ada pada hari bekerja atau hujung minggu. Ruang kerja boleh dikatakan selesa cuma kalau dibandingkan dengan perpustakaan TTDI, meja kerja di sini tidak semuanya ada plug. Jadi, kepada pengunjung yang perlu plug-in laptop mereka, dinasihatkan untuk membawa extension sendiri kecuali kalau kabel laptop kalian panjang.
Rak buku umum. Di belakang sekali terdapat meja kerja mengadap ke halaman.
Bahagian yang Kak Nida rasa menarik adalah seksyen kanak-kanak. Ia mempunyai bilik tersendiri dan dipisahkan dengan dinding kaca. Kerusi meja yang disediakan juga sesuai dengan saiz kanak-kanak. Terdapat rak rendah berisi buku untuk anak-anak kecil. Ruang ini juga sesuai jika diadakan bengkel dan aktiviti kanak-kanak.
Seksyen kanak-kanak
Untuk pergi ke tingkat satu yang mempunyai koleksi fiksyen serta buku rujukan, kalian boleh menaiki tangga atau lif.
Tingkat 1 kelihatan lebih luas dengan meja kerja dan membaca yang lebih banyak. Terdapat kaunter perpustakaan di sini tetapi untuk meminjam buku, pengunjung perlu membawa buku tersebut ke tingkat bawah. Kak Nida telah mendaftar menjadi ahli dan dibenarkan meminjam enam buah buku maksimum pada satu-satu masa. Tempoh pinjaman adalah sebulan.
Bagi Kak Nida, walaupun tidak terlalu besar dan koleksi buku yang lebih terhad berbanding perpustakaan lain, Kak Nida suka berkunjung ke sini kerana ia secara umumnya selesa dan menepati keperluan Kak Nida. Buku-buku yang ada, walaupun terhad, boleh dikatakan agak menarik dan mempunyai kepelbagaian buku lama dan terkini, dengan topik-topik yang kena dengan pembacaan Kak Nida.
Di bahagian bawah perpustakaan juga terdapat ruang parkir. Lotnya tidak terlalu banyak, tetapi setakat ini, Kak Nida tidak pernah lagi gagal mendapatkan ruang letak kereta setiap kali berkunjung ke sini. Perpustakaan Komuniti Bukit Damansara beroperasi setiap kecuali hari Isnin dari jam 10 pagi hingga 7 petang. Kepada penulis sekitar Lembah Klang yang perlukan port menulis yang selesa dan sedikit privasi, perpustakaan ini boleh menjadi pilihan kalian.
Tekan ikon 'pin lokasi' pada gambar di bawah untuk melihat pada Google Map.
0 Ulasan